
KUALA LUMPUR: Pakar ekonomi Bank Dunia, Dr Apurva Sanghi mendapati tiga pencapaian penting dalam ekonomi Malaysia yang disifatkannya sebagai kejayaan tidak didendang, namun perlu menjadi kebanggaan rakyat negara ini.
Ketua Pakar Ekonomi Bank Dunia bagi Malaysia itu berkata, pencapaian pertama ialah pengurangan kadar kemiskinan yang ketara sejak kemerdekaan.
Beliau berkata hampir separuh daripada penduduk Malaysia dianggap miskin 10 tahun selepas kemerdekaan Tanah Melayu.
“Namun hari ini, hanya kira-kira enam daripada setiap 100 rakyat Malaysia hidup dalam kemiskinan. Ini bermakna lebih 14 juta rakyat Malaysia berjaya keluar daripada kemiskinan.
“Walaupun usaha untuk menghapuskan kemiskinan sepenuhnya masih diteruskan, pencapaian ini adalah sangat luar biasa,” katanya menerusi hantaran di platform X.
Beliau berkata, pencapaian itu juga berjaya dicapai tanpa wujudnya kawasan setinggan kekal seperti sering terjadi di negara lain iaitu satu aspek yang baginya sering diabaikan dalam perbincangan mengenai pembangunan.
“Singapura tidak perlu menangani masalah kemiskinan dalam skala sebesar, maka rakyat Malaysia seharusnya berasa bangga,” katanya.
Pencapaian kedua yang diketengahkan oleh Apurva adalah kejayaan Malaysia dalam mempelbagaikan ekonomi.
Katanya, tahap kerumitan ekonomi (economic complexity) Malaysia mengatasi semua negara lain yang bergantung kepada komoditi pada tahap pendapatan yang sama ketika Malaysia mencapai kemerdekaan.
Beliau turut menyatakan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) per kapita Malaysia kini 3.6 kali ganda lebih tinggi daripada Filipina dan sembilan kali ganda lebih tinggi daripada Zambia iaitu dua negara yang bermula pada tahap pembangunan yang hampir sama dengan Malaysia.
“Kepelbagaian ekonomi ini meningkatkan taraf hidup rakyat secara langsung,” katanya.