
KUALA LUMPUR: Sukarelawan termuda Global Sumud Flotila, Muhammad Hareez Adzrami, 25 dari Malaysia memuatkan pesanan penting untuk rakyat Malaysia: “Di saat akhir nanti, saya dan semua delegasi akan buat ‘live’ (siaran langsung) dari atas bot dan sila rakam hingga detik terakhir.”
Demikian permintaan sukarelawan yang juga dikenali sebagai Haroqs. Harapannya ialah solidariti padu masyarakat terhadap misi itu yang terdedah kepada pelbagai risiko termasuk dipintas tentera Israel.
Dalam sesi live TikTok kira-kira jam 5 petang waktu Malaysia semalam beliau berkata, rakaman rakyat Malaysia ketika membuat ‘Live SOS’ atau siaran langsung ketika berlaku detik kecemasan akan menjadi bukti penting untuk semua peserta konvoi misi kemanusiaan itu.
“Kalau boleh setiap seorang rakam satu ‘live’, ajaklah keluarga dan saudara mara, seorang rakam ‘live’ saya, Ardell Aryana, seorang lagi rakam ‘live’ Zizi Kirana, PU Rahmat dan yang lain-lain.
“Rakamlah untuk tunjukkan kami ini tidak bersalah, hanya datang untuk beri bantuan kemanusiaan ke Gaza, misi ini sepenuhnya tidak berkaitan keganasan,” katanya.