
Majlis Raja-Raja akan bersidang bagi Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-269 pada 15 hingga 17 Julai ini untuk membincangkan mengenai kekosongan jawatan Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata Jemaah Menteri memberi jaminan pengisian kekosongan jawatan akan dijalankan dengan mematuhii sepenuhnya Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan.
Katanya, kerajaan mengambil maklum sepenuhnya akan perhatian dan kebimbangan orang ramai berkaitan hal pelantikan itu.
“Jemaah Menteri sudah membincangkan isu kekosongan jawatan Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan serta mengambil maklum sepenuhnya akan perhatian dan kebimbangan orang ramai,” katanya.