Quranhour: Mat rempit otak jangan sempit

Foto Sinar Harian

KOTA BHARU: Penggemar sukan permotoran di Kelantan menyokong kempen World #QuranHour dengan menjadikan platform itu sebagai ruang mendekatkan golongan penunggang motosikal kepada al-Quran.

Presiden dan Pengasas Kelab Gabungan Permotoran Kelantan, Ahmad Tarmizi Mustafa atau lebih dikenali sebagai ‘Abe Sky’ berkata, penyertaan komuniti dua roda dalam program itu mampu mendedahkan kepada ahli kelab mengenai kepentingan memahami dan menghayati al-Quran.

Menurutnya, gabungan berkenaan menghimpunkan 14 kelab permotoran dengan keahlian seramai 1,200 orang di seluruh negeri.

” World #QuranHour ini sangat bagus kerana selain kita beriadah melalui aktiviti permotoran, kita boleh selitkan pengisian mengenai al-Quran kepada ahli kelab.

“Ia memberi pendedahan kepada ahli mengenai al-Quran dan boleh membawa kita kepada persahabatan bukan sahaja di dunia tetapi juga di akhirat,” katanya.

Persepsi negatif terhadap komuniti penunggang motosikal juga perlu diubah kerana golongan itu sebenarnya tidak lalai dan sentiasa terbuka untuk mendalami ilmu agama, katanya.

“Orang selalu kata ‘mat rempit’, tetapi bagi saya ‘mat rempit otak jangan sempit’.

“Kita mahu komuniti ini lebih positif dan menjadikan al-Quran sebagai panduan hidup,” katanya.

Kempen World #QuranHour tahun ini memberi tumpuan khusus kepada penghayatan Surah al-Muzzammil sebagai usaha membina kekuatan jiwa dan karakter masyarakat.