Qari, Qariah Malaysia Johan Tilawah al-Quran Antarabangsa

Foto PMO

Malaysia mencipta kejayaan gemilang dalam Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) ke-65 apabila qari dan qariah negara dinobatkan sebagai juara dalam kategori masing-masing malam semalam.

Aiman Ridhwan Mohamad Ramlan mencipta kejayaan membanggakan apabila dinobatkan sebagai johan kategori qari selepas meraih markah 97.01 peratus mengatasi peserta Indonesia Ahmad Azroi Hasibuan (95.13 peratus) serta wakil Turkiye, Muhammed Yahya Yildizhan (93.88 peratus), yang masing-masing menduduki tempat kedua dan ketiga.

Bagi kategori qariah, Wan Sofea Aini Wan Mohd Zahidi mengharumkan nama negara apabila mencatat markah sebanyak 95.88 peratus bagi mengatasi peserta Maghribi, Fatima Zahra Assafar (89.38 peratus) dan wakil Indonesia, Nur Rahmiyatin Adhya (87.59 peratus).

Hadiah kepada pemenang disampaikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada majlis penutup yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.