
PUTRAJAYA: Sebuah rakaman di bangunan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) memaparkan sebuah pejabat sedang ‘diganggu’ sesuatu.
Menerusi video yang tular di TikTok perkongsian @alamjinggamalaya, rakaman itu menunjukkan situasi semasa ‘gangguan’ itu sedang terjadi.
Dalam video itu, sebuah papan tanda laluan kecemasan dilihat bergoyang-goyang dengan laju di samping seorang pekerja di situ sedang merenjis-renjiskan air.
Difahamkan, kejadian tersebut berlaku di sebuah pejabat JPA, Kompleks C, Blok C1, Presint 1, Putrajaya.
Menerusi hantaran itu, kawasan berkenaan juga telah melalui prosedur ‘pembersihan’ yang dijalankan semalam dikendalikan oleh Ustaz dari Darussyifa.
“Untuk makluman semua, malam ini akan diadakan sesi pembersihan dan pagar JPA oleh Ustaz Halim daripada Darussyifa melalui pembesar suara.
“Oleh itu, mohon simpan barang berharga atau dokumen terperingkat. Semua pintu utama setiap aras dan pintu bilik pegawai, stor, bilik mesyuarat mohon dibuka untuk memberi laluan keluar kepada ‘yang berkenaan’.
“Sesi rukyah akan bermula selepas solat Maghrib. Dijemput juga kepada yang berkelapangan untuk hadir bersama-sama di lobi Blok C1,” katanya.