Pusat Pembelajaran UMPSA Kuala Lumpur Bakal Dibuka

 Foto ihsan UMPSA

KUANTAN: Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) akan membuka Pusat Pembelajaran UMPSA Kuala Lumpur (UMPSA KL).

Naib Canselor UMPSA, Prof Dr Yatimah Alias, berkata pembukaan pusat itu sebagai usaha memperluas akses pendidikan tinggi, khususnya dalam Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kepada masyarakat bandar serta golongan profesional yang bekerja.

Katanya, usaha itu sebahagian daripada persediaan UMPSA mengukuhkan kedudukan universiti ini sebagai hab TVET termaju di rantau ASEAN berteraskan kecemerlangan akademik, jaringan global dan keupayaan penghasilan graduan yang berkualiti tinggi.

“Kuala Lumpur kini menjadi lokasi strategik UMPSA untuk menarik lebih ramai pelajar dari wilayah tengah dan selatan Semenanjung Malaysia.
Pembukaan pusat ini dijangka bakal menarik minat pelajar di kawasan bandar, golongan bekerja yang ingin meningkatkan kemahiran dan rakan industri serta agensi kerajaan untuk berkolaborasi dalam bidang teknikal dan latihan.

“Strategi ini dilihat sebagai langkah terbaik untuk memperluas akses kepada pendidikan tinggi berkualiti serta menyediakan peluang pembelajaran yang lebih fleksibel kepada pelajar dalam dan luar negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, beliau berkata, inisiatif itu turut memastikan golongan muda mendapat akses kepada kemahiran teknikal berkualiti tinggi sejajar dengan permintaan pasaran buruh yang semakin memerlukan tenaga kerja berkemahiran tinggi.