
KUALA LUMPUR: Secara purata, 40 kes buli dilaporkan setiap hari persekolahan tahun lalu, dedah pakar pendidikan, Dr Anuar Ahmad.
Anuar menyuarakan kebimbangan itu susulan pendedahan laporan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, mengenai 7,681 kes buli dilaporkan berlaku di sekolah, melalui jawapan bertulis disiarkan di laman web Parlimen.
Jumlah itu meningkat berbanding 6,528 kes pada 2023.
“Tolak cuti dan hujung minggu, jumlah hari persekolahan di negara ini sekitar 190 hari. Pelajar asrama juga biasanya pulang ke rumah masing-masing apabila cuti sekolah.
Secara kasar, bila dihitung terdapat 7,681 kes buli di sekolah kepada 190 hari persekolahan, secara purata berlaku 40 kes buli sehari pada 2024. Sangat tinggi!!,” kata Anuar di Facebook, hari ini.
Anuar berkata angka itu berdasarkan kepada data sistem Sahsiah Diri Murid (SSDM) dengan 1,992 kes yang berlaku tahun lalu itu membabitkan sekolah rendah, manakala 5,689 kes lagi di sekolah menengah.
Beliau yang juga Timbalan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA UKM), berkata jumlah itu membimbangkan kerana mangsa mengalami trauma dan kesan psikologi seumur hidup akibat dibuli.
“Jika dijumlahkan kes buli tahun 2023 (6,528 kes) dan 2024 (7,681 kes), maksudnya sudah terdapat sekurang-kurangnya 14,209 kes yang menjadi mangsa buli di sekolah kita untuk dua tahun terakhir.
“Bagaimana pula dengan kes buli yang tidak dilaporkan kerana bimbang dengan keselamatan diri, malu atau sebagainya? Tiada siapa tahu jumlahnya,” katanya.