
GEORGE TOWN: Teknologi penanaman padi ratun atau ratoon rice iaitu kaedah yang membolehkan padi dituai sebanyak dua kali dengan sekali tanaman akan dilaksanakan di Pulau Pinang.
Ini berikutan kesediaan Pulau Pinang sedia menjadi negeri perintis pelaksanaan projek teknologi penanaman padi berkenaan.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, kerajaan negeri telah mengemukakan cadangan itu kepada Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) untuk meneroka teknologi itu secara bersama.
“Pengerusi Jawatankuasa Agroteknologi dan Sekuriti Makanan dan Pembangunan Koperasi negeri, Fahmi Zainol telah ke institusi penyelidikan pertanian utama di wilayah Fujian, China dan teknologi penanaman padi itu boleh menggantikan kaedah tradisional, iaitu sekali tanam dan sekali tuai.
“Pulau Pinang bersedia menjadi negeri perintis kepada pelaksanaan teknologi berkenaan dengan pendekatan moden yang lebih efisien, mampan dan berimpak tinggi,” katanya selepas merasmikan Karnival Industri Makanan dan Asas Tani (IMAT) anjuran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) di sini semalam.
Fahmi, Pengerusi Fama, Aminuddin Zulkipli serta Ketua Pengarah Fama, Abdul Rashid Bahri hadir di majlis itu.
Kon Yeow berkata, tuaian kedua bagi penanaman kali pertama hanya mengambil masa 70 hari dan dengan teknologi itu, ia dapat meningkatkan pendapatan pesawah apabila proses tuaian boleh dilakukan sehingga empat kali dalam setahun, iaitu dengan dua kali penanaman.