PRU Awal Bukan Prioriti Kerajaan Madani

Foto NSTP

PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan pilihanraya umum (PRU) awal bukanlah keutamaan kerajaan Madani buat masa ini.

Sebaliknya keraajaan memberi tumpuan melaksanakan reformasi serta menangani masalah dihadapi rakyat, kata Perdana Menteri.

Beliau berkata, dua perkara itu menjadi fokus utama kerajaan pimpinannya walaupun situasi negara ketika ini diliihat lebih baik dan stabil.

“Kita masih mempunyai perjalanan yang panjang. Saya tidak pasti… maksud saya pada masa ini saya memberi tumpuan kepada usaha meneruskan pelaksanaan reformasi serta mengurangkan masalah yang dihadapi rakyat,

“Khususnya kos sara hidup yang semakin tinggi. Itulah dua fokus utama bagi tahun hadapan dan saya fikir, walaupun keadaan sekarang agak lebih baik, ia akan menjadi lebih baik lagi pada masa akan datang,” katanya pada sesi Taklimat Perdana Menteri Besama Ketua-Ketua Pengarang Media di Kompleks Seri Perdana di sini.

Perdana Menteri juga berkata, Malaysia perlu menerima hakikat bahawa negara tidak lagi boleh terlalu bergantung kepada dividen Petronas, memandangkan syarikat minyak nasional itu beroperasi sebagai entiti komersil yang prestasinya berkait rapat dengan harga minyak global.

Beliau berkata, bayaran dividen Petronas kepada kerajaan ditentukan oleh keadaan pasaran serta prestasi industri minyak dan gas, yang kekal tidak menentu dalam landskap global.