Prosiding kes saman Tun M terhadap Anwar kurang 30 minit.

Foto Berita Harian

SHAH ALAM: Prosiding hari pertama kes saman fitnah Tun Dr Mahathir terhadap Datuk Seri Anwar di Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini berlangsung kurang 30 minit.

Dr Mahathir tidak bertenaga untuk meneruskan prosiding soal balas kerana baru sahaja makan ubat. Selepas menjawab tiga soalan tambahan daripada peguamnya, Dr Mahathir yang menyambut ulang tahun kelahiran ke-100 pada 10 Julai lalu berkata, beliau tidak bertenaga untuk meneruskan prosiding soal balas daripada pihak yang mewakili Ahli Parlimen Tambun.

“Saya baru sahaja makan ubat maka saya tidak dapat berfungsi sepenuhnya dan tiada kekuatan untuk bercakap,” katanya semasa prosiding di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Donald Joseph Franklin.

Peguamnya, Muhammad Rafique Rashid Ali, memohon mahkamah menangguhkan prosiding dan disetujui tanpa bantahan daripada pihak Anwar.

Dr Mahathir memfailkan saman fitnah menuntut ganti rugi RM150 juta terhadap Anwar berhubung ucapan di Kongres Nasional Khas Malaysia Madani.

Dalam pernyataan tuntutan, Dr Mahathir mendakwa Anwar mengeluarkan kenyataan fitnah yang menjatuhkan reputasinya.