Projek Komuniti Rentas Negara USM di Jakarta

Foto Sinar Bestari

KUALA LUMPUR: Universiti Sains Malaysia (USM) baru-baru ini melaksankan projek komuniti rentas negara berfokuskan latihan pengetahuan, kompetensi dan komunikasi berkaitan Matlamat Pembangunan Lestari (SDGs) di tiga buah sekolah di Jakarta, Indonesia.

Projek komuniti rentas negara itu adalah inisiatif pensyarah dan pelajar dari Pusat Pengajian Komunikasi (PPK) USM.

Berlangsung dari 21 hingga 27 September 2025, ia diketuai oleh pensyarah Komunikasi Kelestarian, Prof Madya Dr Mohamad Saifudin Mohamad Saleh bersama 10 orang pelajar prasiswazah PPK.

Ia dijalankan dengan kerjasama pensyarah dan pelajar dari Universitas Mercu Buana (UMB), Jakarta.

Matlamatnya ialah untuk meningkatkan pengetahuan serta kemahiran komunikasi pelajar sekolah mengenai SDGs.

Menurut Saifudin, program ini adalah usaha bersepadu pelbagai pihak untuk memastikan generasi muda mendapat pendedahan bermakna mengenai SDGs serta melatih mereka menjadi pemimpin pendapat yang aktif dalam mengkomunikasikan isu kelestarian melalui media sosial secara berkesan.

“Projek komuniti ini dibangunkan berasaskan modul komunikasi kelestarian yang merangkumi ceramah, sesi perbincangan interaktif serta permainan berkaitan SDGs.

“Ia bagi menarik minat dan memberikan pengalaman pembelajaran yang menyeronokkan kepada peserta selari dengan konsep didik hibur,” katanya.