Projek Grid Tenaga Asean bermula tahun depan

Foto MOHD ROJI KAWI

Projek mega Grid Tenaga Asean (APG) dijangka mula dilaksanakan tahun depan selepas beberapa perkara mengenainya dimuktamadkan semua negara anggota, hujung tahun ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata ia akan dibincang lebih lanjut pada Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga Asean di Kuala Lumpur Oktober ini, seterusnya akan dimuktamadkan pada mesyuarat peringkat tertinggi pimpinan negara anggota Asean November ini.

Beliau, yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, secara dasarnya perbincangan yang diadakan pada peringkat Pegawai-Pegawai Kanan Tenaga Asean (SOME) yang diadakan di sini, bulan lalu sudah mencapai keputusan berhubung hala tuju APG serta perancangan awal pembinaan kabel kuasa dasar laut menghubungkan beberapa negara serantau.

“Secara dasarnya, negara anggota Asean sudah bersetuju dengan rancangan itu dan ia diterjemahkan dalam bentuk ‘roadmap’ yang mengandungi jadual pelaksanaan yang jelas serta langkah-langkah bagaimana APG akan dilaksanakan,” katanya.