
KUALA TERENGGANU: Diikat dan ditendang dengan kasar oleh askar Israel tetapi Pensyarah Fakulti Undang-Undang dan Hubungan Antarabangsa Sultan Zainal Abidin, Prof Dr Mohd Afandi Salleh tidak patah semangat.
Pengalaman pahit dikasari tentera Israel semasa ditahan ketika misi kemanusiaan Freedom Flotilla Coalition dan Thousand Madleens to Gaza (FFC x TMTG) baru-baru ini, menguatkan lagi tekad beliau untuk terus terbabit dalam misi kemanusiaan bagi membantu rakyat Palestin yang tertindas.
Mohd Afandi, yang menyertai misi FFC x TMTG bersama lapan sukarelawan Malaysia lain, berkata layanan kasar itu diterima sepanjang tempoh penahanan, apabila mereka diikat dengan cable tie, mata ditutup dan dipaksa duduk berjam-jam dalam posisi tidak selesa tanpa tempat bersandar.
Beliau yang pernah dua kali ditahan tentera Israel ketika menyertai misi kemanusiaan antarabangsa ke Gaza sebelum ini, menyifatkan pengalaman terbaru itu jauh lebih kejam dan mencabar berbanding penahanan pada 2018.
“Kali pertama saya diikat waktu turun dari kapal, orang lain hanya letakkan tangan di belakang (tidak diikat) dan kali kedua sebelum naik bas untuk ke penjara, didera lebih lama malah saya turut ditendang dan dilayan dengan kasar,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Pelancaran Buku Politik Bukan Akidah di sini semalam.