PRN Sabah: SPR Buka Permohonan Jadi Pemerhati

Foto Hiasan

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) menawarkan mana-mana badan yang berminat, termasuk agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk menjadi pemerhati pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) Sabah.

Dalam satu kenyataan semalam, SPR memaklumkan pemerhati berpeluang melihat perjalanan pilihanraya bermula daripada proses penamaan calon hingga keputusan diumumkan.

“Permohonan menjadi pemerhati pilihan raya dibuka mulai hari ini, dan tarikh tutup permohonan akan dimaklumkan selepas Mesyuarat Khas SPR bagi PRN itu,” katanya.

SPR akan mengadakan Mesyuarat Khas pada 16 Oktober ini bagi membincangkan beberapa tarikh penting dan perkara lain berkaitan PRN17 Sabah.

Isnin lalu, Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah selepas memperoleh perkenan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman, sekali gus membuka laluan kepada PRN17.