PRN Sabah: Nurul, Saifuddin Ambil Tanggungjawab Penuh

Foto Fail / Bernama

KUALA LUMPUR: Pengarah Pilihanraya Bersama PKR bagi PRN Sabah, Nurul Izzah Anwar dan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, sedia mengambil tanggungjawab sepenuhnya secara kolektif.

Menurut kenyataan Parti Keadilan Rakyat (PKR), parti itu menghormati dan menerima dengan rendah diri keputusan rakyat Sabah dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-17 semalam dengan hati yang terbuka sebagai peringatan dan pengajaran.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Pengarah Pilihan Raya Bersama PKR bagi PRN Sabah, Nurul Izzah Anwar dan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, kedua-dua mereka mengambil tanggungjawab sepenuhnya secara kolektif sebagai sebuah pasukan atas keputusan pilihan raya negeri itu.

“Kami sedar bahawa perjalanan panjang sebuah perjuangan bukan terletak pada kemenangan semata-mata, tetapi pada kesediaan untuk menginsafi kelemahan, memperbaikinya, dan bangkit semula dengan lebih baik.

“Pada masa yang sama, keputusan ini turut mencerminkan sentimen rakyat terhadap isu tadbir urus, ketelusan dan kepimpinan lokal.

“Mesej yang jelas bahawa ketidaksepakatan bukan sahaja melemahkan kekuatan politik, bahkan menghakis keyakinan rakyat terhadap keupayaan kita menawarkan kepimpinan yang stabil dan bertanggungjawab,” kata kenyataan bersama itu.

Nurul Izzah yang juga Timbalan Presiden PKR dan Saifuddin Nasution sebagai Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH) turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua jentera parti dan akar umbi yang telah mengorbankan masa, sumber dan tenaga tanpa lelah sepanjang kempen ini.