PRN Sabah: Hujan pagi tak halang pengundi

Foto Malaysiakini

KOTA KINABALU: Warga Sabah tidak menghiraukan hujan renyai terutama di bahagian Pantai Barat negeri itu untuk keluar mengundi lebih awal bagi Pilihanraya Negeri Sabah ke-17.

Di beberapa pusat mengundi, orang ramai sudah berkumpul seawal 7 pagi dengan membawa payung, meskipun 882 pusat pengundian yang terbabit dibuka secara rasmi pada 7.30 pagi.

Antara pusat pengundian yang menyaksikan kehadiran orang ramai termasuk warga emas ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Bahang, Penampang; SK Pekan Ansip, Sook; SK Serusup, Tuaran; dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Garam di Kinabatangan.

Canisius Einus, 32, berkata dia datang lebih awal ke pusat mengundi SK Kokol Tuaran kerana perlu menemani isteri mengundi di daerah lain selepas itu.

Untuk memudahkan kelancaran proses pengundian, beberapa petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membantu orang ramai memasuki saluran pengundian dengan menyediakan kerusi roda kepada yang memerlukan.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam hebahan menerusi Facebook pagi ini meminta orang ramai yang mengundi pada PRN Sabah untuk merancang perjalanan mereka dengan sebaiknya.

Foto Malaysiakini

Pengundi juga dinasihatkan agar sentiasa berwaspada dan mengikuti maklumat, ramalan serta amaran cuaca terkini melalui laman web MetMalaysia, aplikasi myCuaca, media sosial rasmi dan talian hotline 1-300-22-1638.