PRN Sabah: 92.5 Peratus Keluar Undi Awal

Foto FMT

PETALING JAYA: Peratusan keluar mengundi awal bagi individu yang layak di Pilihanraya Sabah ke-17 ialah 92.5 peratus.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Khairul Shahril Idrus, berkata, pengundi awal yang layak terdiri daripada anggota tentera dan pasangan serta anggota polis termasuk Pasukan Gerakan Am dan pasangan.

Beliau berkata, proses mengundi awal bermula pada 8 pagi melibatkan 58 pusat di seluruh Sabah yang ditutup pada 5 petang, dengan 8,347 anggota tentera serta pasangan dan 10,696 anggota polis serta pasangan mengundi.

“SPR merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada semua pegawai pengurus pilihanraya dan pasukan kerana telah menjalankan tanggungjawab dengan amat baik pada hari ini,” katanya dalam kenyataan.

Beliau turut menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada pihak Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Pejabat Setiausaha Persekutuan Sabah, polis, tentera, pihak media serta semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam proses pengundian awal hari ini.