
SEREMBAN: Istana Negeri Sembilan sentiasa menjunjung prinsip berkecuali dan tidak terlibat dengan mana-mana parti atau kegiatan politik, kata Azizi Mohamad Ali.
Pengelola Bijaya Diraja Istana Negeri Sembilan itu berkata istana juga menasihatkan parti-parti politik tidak mengaitkan istana semasa ceramah dan kempen pilihan raya negeri yang sedang berlangsung.
“Institusi raja merupakan payung perpaduan rakyat yang berperanan memelihara keharmonian, kestabilan serta kesejahteraan negara.
“Sehubungan itu, institusi diraja sentiasa menjunjung prinsip berkecuali dan tidak berpihak kepada mana-mana parti politik,” katanya.
Dalam kenyataan semalam, Azizi menegaskan bahawa sebarang dakwaan, kenyataan, gambar, video atau bahan yang mengaitkan Istana Negeri Sembilan, Yang di-Pertuan Besar atau kerabat dengan mana-mana parti politik adalah tidak benar.
Istana Negeri Sembilan juga menasihatkan semua calon tidak memainkan isu berkaitan agama, kaum dan istana (3R) serta sentiasa berkempen secara berhemah, beretika dan mematuhi undang-undang.