PRN N9: BUNYI MACAM LANGIT NAK RUNTUH

Foto Mohd Shah Abdullah

Oleh Mohd Shah Abdullah | Dipetik daripada hantaran Facebook penulis, dengan kebenaran

Pilihan Raya Negeri (PRN) di Negeri Sembilan lazimnya berjalan tenang dan aman. Orang Noghori pemikirannya terbuka, mudah dibawa berunding, dan senang berbincang. Umumnya suhu politik di negeri ini tidak selalu panas.

Orang Negeri Sembilan tidak terlalu ‘obses’ berpolitik seperti di sesetengah negeri — 24/7 politik, politik, politik! Di luar musim pilihan raya, suasana tenang dan kehidupan bergerak seperti biasa. Di kampung-kampung lagi tenang. Banyak anak muda sudah mengungsi ke bandar membina kerjaya, tinggallah nenek, atok, mak cik dan pak cik yang hidup sederhana cara kampung. Mereka tak berminat berbicara panjang soal politik, nak tukar kerajaan, nak jatuhkan orang itu, naikkan orang ini.

Kenduri-kendara lebih rapat di hati

Orang Negeri Sembilan suka kenduri-kendara, berkumpul ramai-ramai, makan, minum dan bersilaturahim. Memang “orang Noghori sonang berunding”. Maka percayalah, bingit macam mana pun pilihan raya kali ini, semuanya masih tenang. Mungkin orang luar dengar macam langit nak runtuh di Negeri Sembilan — kononnya krisis adat, krisis politik, tebuk atap, tukar atap. Realitinya, orang Negeri steady jer. Pilihan raya ini pasti berjalan tenang, aman dan lancar.

Semua parti ada tempat

Realitinya, kita perlu hidup rukun damai antara semua kaum — Melayu, Cina, India dan lain-lain mesti bersatu hati mencapai aspirasi Malaysia yang makmur dan sejahtera. Jika ada kesangsian dan prejudis tak tentu hala, apa faedahnya? Ini bumi milik kita bersama, bumi ini indah dan permai.

Pakatan Harapan, Barisan Nasional, Perikatan Nasional dan lain-lain semua ada kebaikan dan ada kelemahan. Jadi, tampung-menampunglah untuk bina negeri dan negara. Pemimpin bukan malaikat, anda semua bukan maksum bebas dosa. Di Negeri Sembilan, PH ada tempat, BN ada tempat, PN ada tempat, yang lain-lain juga ada tempat.

Kuasa hanya sementara

Jika anda terus bertempur dan bercempera, ingatlah kuasa hanya sementara. Satu hari anda akan hilang dari radar dan pandangan semua, anda akan dilupakan. Sementara ada ini, dan ketika ghairah untuk berkuasa serta “syahwat politik” bergelora, ingatlah semua ini AMANAH. Jika terlalu mengikut nafsu gila kuasa dan mabuk kerusi, dikhuatiri negara hilang barakah.

Jangan hilang iman dan akal kerana anda semua pemimpin budiman. Politik dan pilihan raya hanyalah wasilah, bukan matlamat. Matlamat anda semua mestilah menjadikan Negeri Sembilan ini terus maju, makmur, sejahtera dan diredai Tuhan.

— CATATAN MSA