
ALOR GAJAH – Pakatan Harapan (PH) melihat kerjasama “PH Plus” bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka lebih sesuai dilaksanakan dalam bentuk persefahaman pilihan raya berbanding pembentukan gabungan politik baharu, memandangkan tempoh persiapan yang semakin singkat.
Pengarah Pilihan Raya PH Datuk Seri Amirudin Shari berkata masa yang ada ketika ini terlalu pendek untuk membina sebuah gabungan baharu, namun persefahaman bagi tujuan pilihan raya masih boleh direalisasikan. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Jentera PKR Masjid Tanah di Kuala Sungai Baru, di sini malam tadi, yang turut dihadiri Setiausaha Politik Perdana Menteri Datuk Azman Abidin serta Pemangku Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Melaka Adam Adli Abdul Halim.
Menteri Besar Selangor itu berkata perbincangan berhubung perkara tersebut masih di peringkat negeri, dan beliau perlu mendapatkan butiran lanjut hasil rundingan sebelum ia dibawa kepada pimpinan PH peringkat pusat untuk rujukan. Sekiranya hasil perbincangan itu selari dengan keperluan semasa, katanya, PH akan meneliti pelaksanaan bentuk kerjasama berkenaan.
Dalam pada itu, Amirudin berkata PH mahu Barisan Nasional (BN) menjelaskan pendirian mengenai kemungkinan kerjasama kerana setakat ini tiada perkembangan berhubung pertemuan antara kedua-dua pihak. Beliau berkata PH tidak mempunyai masalah sekiranya BN tidak berminat, namun meminta pendirian itu dimaklumkan supaya PH dapat merangka persiapan lebih awal, sambil menegaskan gabungan itu bersedia berdepan pelbagai senario termasuk bertanding secara solo, membentuk jajaran baharu atau bekerjasama dengan UMNO/BN.
Sumber : Bernama