PRN Melaka: 687,697 Pemilih Layak Mengundi pada 14 November

Foto : Bernama

MELAKA – Seramai 687,697 pemilih layak mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 yang ditetapkan pada 14 November ini, berdasarkan Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) yang akan digunakan. Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Ramlan Harun berkata jumlah itu terdiri daripada 675,166 pengundi biasa, 9,769 anggota tentera dan pasangan, serta 2,762 anggota polis.

Mengenai undi pos, beliau berkata permohonan kategori dalam dan luar negara telah dibuka sejak 23 September lepas. “Tarikh tutup permohonan undi pos bagi Kategori 1A, iaitu petugas pilihan raya, pegawai SPR, anggota tentera dan media ditetapkan pada 28 Okt. Bagi Kategori 1B, iaitu warganegara Malaysia di luar negara dan 1C melibatkan agensi atau organisasi, tarikh tutup pula adalah pada 23 Okt,” katanya.

Ramlan berkata SPR telah melantik 28 Pegawai Pengurus Pilihan Raya dengan bantuan 80 Penolong Pegawai Pengurus, selain menubuhkan 28 Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) bagi memantau aktiviti kempen sepanjang tempoh rasmi berkempen. Pasukan tersebut turut dianggotai wakil Polis Diraja Malaysia (PDRM), pihak berkuasa tempatan (PBT) dan wakil calon yang bertanding.

Sebanyak 28 Pusat Penamaan Calon (PPC) dan Pusat Penjumlahan Rasmi Undi (PPRU) akan digunakan dengan 11,175 petugas dilantik mengendalikan proses berkenaan, manakala 271 Pusat Mengundi dengan 1,263 saluran dibuka merangkumi 31 pusat mengundi awal dengan 50 saluran dan 240 pusat mengundi biasa dengan 1,213 saluran. Peruntukan pelaksanaan PRN Melaka dianggarkan RM28.45 juta.

SPR turut menawarkan peluang kepada mana-mana agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) untuk menjadi pemerhati pilihan raya, bermula pada hari penamaan calon sehingga keputusan diumumkan. “Mereka dibenarkan untuk membuat pemerhatian seperti di PPC, pusat-pusat mengundi, tempat pengiraan undi dan PPRU serta perlu mematuhi kesemua syarat pelantikan yang telah ditetapkan oleh SPR,” kata Ramlan, sambil menambah maklumat lanjut dan borang permohonan boleh diperoleh menerusi Portal SPR, www.spr.gov.my mulai hari ini dengan permohonan ditutup pada 21 Oktober.

Sumber : Bernama