Prestasi ringgit terbaik di Asia kerana tatakelola baik

Foto Hiasan

KUALA LUMPUR: Keberkesanan dasar tatakelola, kestabilan politik dan keyakinan pelabur terhadap hala tuju ekonomi negara, menghasilkan prestasi ringgit berada antara yang terbaik di Asia, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, pengukuhan nilai ringgit juga adalah hasil daripada usaha berterusan kerajaan dalam memastikan keamanan negara, pentadbiran cekap serta ketegasan dalam membanteras rasuah dan penyelewengan.

“Ringgit mencatatkan prestasi terbaik di Asia, bukan berbanding dengan negara-negara jiran tetapi seluruh Asia.

“Oleh sebab itu, kita kena kerja kuat, jaga negara dan ia bermula dengan tatakelola. Jangan ada duit lebih, masuk dalam poket, ambil komisen,” katanya di Karnival Kebudayaan Madani dan Kenduri Rakyat Pulau Pinang 2026 di Pejabat Pendidikan Daerah Seberang Perai Tengah, Permatang Pasir di Bukit Mertajam semalam.

Jumaat lalu, ringgit melepasi paras psikologi penting 4.00 berbanding dolar Amerika Syarikat apabila mencecah paras tertinggi dalam tempoh lebih tujuh tahun pada 3.9992.

Kali terakhir ringgit berada pada paras itu ialah pada 18 Jun 2018 yang mencecah 3.9960/9990.