Polis Tahan Namawee Disyaki Miliki, Ambil Dadah

Foto Hiasan

KUALA LUMPUR: Rapper tempatan Namewee atau nama sebenarnya Wee Meng Chee ditahan polis selepas disyaki memiliki dan menggunakan dadah di sebuah hotel di ibu negara pada 22 Oktober lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus, berkata sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi menahan lelaki berusia 42 tahun itu sekitar jam 4.30 petang.

“Hasil pemeriksaan di bilik hotel berkenaan menemui sembilan biji pil berwarna biru disyaki pil ekstasi dengan anggaran berat 5.12 gram.

“Suspek kemudian dibawa ke IPD Dang Wangi untuk tindakan lanjut dan hasil ujian saringan awal air kencing mendapati dia positif dadah jenis amphetamine, methamphetamine, ketamin dan THC,” katanya.

Fadil berkata, suspek ditahan reman selama dua hari sebelum dihadapkan ke mahkamah pada 24 Oktober lalu, terhadap dua pertuduhan mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952.

Bagi pertuduhan pertama mengikut Seksyen 39A(1) akta sama kerana memiliki dadah, manakala bagi pertuduhan kedua Seksyen 15(1)(a) akta sama atas kesalahan menggunakan dadah.