Polis Siasat Video Anggota Polis Langgar Lampu Isyarat

Foto Hiasan

SEREMBAN: Polis sudah mengenal pasti dan mengambil tindakan sepatutnya terhadap anggota yang terbabit kejadian sebuah kenderaan agensi itu yang dikatakan melanggar lampu isyarat merah.

Kejadian dipercayai berlaku di persimpangan NSK, Jalan Haruan 2, di sini kira-kira jam 12.20 tengah malam, 16 September lalu.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din, berkata pihaknya mengambil maklum penularan sebuah rakaman video di media sosial yang memaparkan kejadian itu.

“Polis mengesahkan siasatan sedang dijalankan dan sudah mengenal pasti keadaan sebenar insiden itu selepas siasatan selesai, tindakan dalaman akan diambil pada yang terbabit,” katanya.

Beliau menegaskan, setiap pegawai dan anggota polis tertakluk kepada peraturan jalan raya, kecuali dalam keadaan tertentu yang membabitkan tugasan kecemasan serta memerlukan tindakan segera demi keselamatan dan kelancaran operasi.

Jelas beliau, sekiranya siasatan mendapati berlaku pelanggaran prosedur, tindakan sewajarnya akan diambil mengikut undang-undang.