
PASIR GUDANG: Polis sedang menyiasat kes membabitkan seorang kanak-kanak dibuli dan ditendang oleh seorang lagi kanak-kanak lelaki di sebuah kawasan perumahan di Taman Molek, di sini.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak, berkata pihaknya mengesan rakaman video berdurasi satu minit 24 saat yang memaparkan seorang budak lelaki didatangi sekumpulan empat lagi kanak-kanak dengan seorang daripadanya menendang perut mangsa.
Katanya, siasatan mendapati kejadian berlaku pada 14 Julai lalu kira-kira jam 2.03 petang di bawah blok kawasan perumahan Molek Ria, Seri Alam, di sini.
“Dalam kejadian itu, anak pengadu ditendang di bahagian perut oleh seorang kanak-kanak lelaki dipercayai tinggal di kawasan perumahan yang sama.
“Ibu mangsa yang berusia 33 tahun membuat laporan polis berhubung insiden berkenaan di Ibu Pejabat Polis Daerah Seri Alam, semalam,” katanya.