Polis Rampas Dadah 2.2-Kilogram Disimpan dalam Kereta

Foto Hiasan

ALOR GAJAH: Polis merampas 1,600 paket lut sinar berisi bahan disyaki dadah jenis heroin dan syabu dianggarkan lebih 2.2-kilogram yang disimpan dalam kereta dijadikan stor simpanan selepas serbuan dibuat di Jalan Perindustrian Rembia, di sini, pada minggu lalu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Deputi Superintendan Azrul Mohamed, berkata dalam serbuan jam 6.10 pagi pada 12 September lalu itu, polis turut menahan seorang lelaki suspek ‘tokan dadah’ berusia 31 tahun.

Beliau berkata, serbuan dilakukan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka itu hasil maklumat dan risikan.

“Hasil pemeriksaan dalam kenderaan itu polis menjumpai 1,500 paket plastik lut sinar berisi bahan disyaki dadah heroin anggaran seberat 2,129.30 gram.

“Turut dirampas 100 paket plastik lut sinar berisi bahan disyaki dadah syabu anggaran berat 96 gram dan semua rampasan dadah dianggarkan bernilai RM35,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azrul berkata, hasil siasatan lanjut polis mendapati kereta berkenaan diparkir di tempat kejadian dan dijadikan stor simpanan dadah.