
KUALA LUMPUR: Tiga perkara ditekankan oleh Polis Kuala Lumpur agar orang ramai
mematuhi arahan bagi memastikan kelancaran Sidang Kemuncak Asean ke-47, di sini, pada 26 hingga 28 Oktober ini.
Tiga perkara yang ditekankan kepada warga kota itu ialah tidak mengganggu acara persidangan, tidak mengganggu laluan acara persidangan dan tidak mengganggu ketenteraman awam.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus, berkata polis akan mengambil tindakan mengikut peruntukan undang-undang sekiranya ada pihak yang cuba mengganggu-gugat acara Sidang Asean dan ketenteraman awam.
“Saya ingin tegaskan kepada mana-mana pihak yang terbabit cuba menganjurkan apa-apa perhimpunan berkenaan sidang kemuncak ini, untuk tidak mengganggu persidangan ini, laluan yang digunakan semasa persidangan ini dan paling penting jangan ada aktiviti yang mengganggu ketenteraman awam.
“Polis Kuala Lumpur akan mengambil tindakan setegas-tegasnya terhadap mana-mana pihak yang cuba membuat kekecohan. Ini semua adalah perbuatan jenayah, ini jelas.
“Jadi apa-apa aktiviti yang berkaitan dengan aktiviti ini, kita akan tangani dan monitor sebaik-baiknya,” katanya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.