Polis Kesan Cubaan Sabotaj Program Selawat

KUALA LUMPUR – Polis Kuala Lumpur membongkar cubaan mensabotaj Program Selawat dan Munajat Perdana Polis Kuala Lumpur yang dijadualkan berlangsung di Masjid Al-Sultan Abdullah, Presint Merdeka 118 di sini.

Program Selawat dan Munajat itu dijadualkan petang ini.

Dalam kenyataan di laman sosial rasminya, Polis Kuala Lumpur memaklumkan ada individu tidak bertanggungjawab mengedarkan e-mel palsu kepada jemputan kononnya program itu dibatalkan.

“Program Selawat dan Munajat Perdana Polis Kuala Lumpur 1447H/2025M tidak dibatalkan, program berkenaan akan berlangsung sepertimana yang telah dijadualkan,” menurut kenyataan itu.

Sehubungan itu, Polis Kuala Lumpur menjemput orang ramai untuk hadir memeriahkan program berkenaan yang juga boleh diikuti secara dalam talian melalui laman Facebook rasminya.