
SHANGHAI – Malaysia mengangkat Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional (TVET) sebagai teras dasar perindustriannya, menjadikan bidang itu instrumen utama transformasi ekonomi bagi melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang berpendapatan baik.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata strategi tersebut menjadi tunjang usaha negara beralih kepada ekonomi berpertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi, selari dengan pengembangan ke bidang reka bentuk cip, kecerdasan buatan (AI), teknologi hijau dan agromakanan. Menerusi fasa pembaharuan TVET 2.0, katanya, Malaysia menyasarkan kerjasama lebih erat antara pemain industri dan institusi latihan, di samping memacu pendedahan kepada bidang baharu yang sedang berkembang termasuk semikonduktor, AI dan tenaga boleh baharu. Penyelarasan agenda nasional itu diuruskan Majlis TVET Negara membabitkan kira-kira 1,400 institusi merangkumi 12 kementerian, kerajaan negeri serta penyedia latihan swasta berteraskan Dasar TVET Negara 2030.
Dalam ucaptama selama 10 minit pada sesi pleno Persidangan WorldSkills 2026 di sini pada Rabu, Anwar menegaskan syarikat perlu menjadi rakan kongsi dalam membentuk bakat kerana merekalah yang memahami peralatan digunakan dan kepantasan perubahan keperluan mereka. Beliau berkata ekonomi moden tidak mampu berfungsi tanpa tenaga teknikal yang memastikan barisan pengeluaran semikonduktor terus beroperasi atau kilang kenderaan elektrik menepati jadual walaupun jentera semakin maju dan perisian semakin pintar, manusia tetap diperlukan untuk memahami cara ia berfungsi dan bertindak apabila berlaku kerosakan.
Persidangan tiga hari bertemakan ‘Shaping a Skills-Driven Future’ itu dirasmikan Perdana Menteri China Li Qiang di Pusat Pameran dan Konvensyen Kebangsaan (NECC), diadakan serentak dengan WorldSkills Competition Shanghai 2026 Ke-48 dan WorldSkills Expo. Ia menghimpunkan penggubal dasar, pendidik, pemimpin industri dan peneraju perubahan bagi membincangkan usaha memperkasa agenda TVET global.
Merakamkan penghargaan kepada Li Qiang atas jemputan lawatan kerja serta sambutan terhadap delegasi Malaysia, Anwar berkata Shanghai telah melalui transformasi pesat daripada industri tekstil kepada kemudahan fabrikasi semikonduktor dan AI, menambah bahawa setiap industri baharu perlu dipelajari sebelum dapat dibangunkan. Beliau berkata Malaysia menetapkan dua sasaran utama menjelang 2030 di bawah Strategi Semikonduktor Nasional iaitu menarik pelaburan semikonduktor bernilai RM500 bilion serta melatih atau meningkatkan kemahiran 60,000 jurutera tempatan berkemahiran tinggi.
Dengan memanfaatkan keupayaan China dalam pembuatan termaju, AI, robotik, automasi industri, kenderaan elektrik, semikonduktor dan teknologi digital, katanya, Malaysia menyasarkan kerjasama TVET yang lebih kukuh dengan negara itu termasuk pertukaran pelajar dan tenaga pengajar, program latihan bersama, hubungan lebih rapat antara institusi TVET dengan industri, serta perkongsian teknologi dan kepakaran yang lebih luas. Anwar berkata Inisiatif Latihan TVET Belia Malaysia-China telah membuktikan hasil yang boleh dicapai menerusi kerjasama institusi kedua-dua negara, dan beliau yakin TVET mampu menjadi salah satu teras hubungan lebih luas antara Malaysia dan China.