PM Ucap Tahniah kepada Chen Tang Jie–Toh Ee Wei

Foto Fail / PMO

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengucapkan tahniah kepada pasangan beregu campuran negara, Chen Tang Jie–Toh Ee Wei, selepas muncul juara dunia di Kejohanan Badminton Dunia BWF 2025, di Paris, hari ini.

“Hadiah Hari Kebangsaan buat Malaysia! Tahniah kepada pasangan beregu campuran negara, Chen Tang Jie–Toh Ee Wei, atas pencapaian membanggakan di Kejohanan Badminton Dunia BWF 2025. Terima kasih kerana telah bekerja keras demi mengharumkan nama negara,” kata Anwar dalam ciapan di platform X.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menerusi hantaran di media sosial turut memuji pencapaian itu.

“Emas pada Hari Merdeka ini bukan sahaja sangat istimewa, malah kini akan terpahat dalam sejarah sebagai salah satu pencapaian sukan terbaik negara,” katanya.

Terdahulu, pasangan ranking empat dunia menampilkan persembahan hampir sempurna untuk menundukkan pilihan kedua dari China, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin dalam aksi final yang mendebarkan di Adidas Arena.

Beregu utama negara itu menang straight set 21-15 dan 21-14 sekali gus menghadiahkan emas pertama beregu campuran di Kejohanan Dunia.