
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim menempelak Ahli Parlimen pembangkang yang bersikap ‘lebih Hamas daripada Hamas’ dan ‘lebih China daripada China’ dalam mentafsirkan langkah kerajaan menjalinkan hubungan perdagangan dengan negara luar.
Perdana Menteri berkata, pembangkang menanam kebencian menyebabkan ada yang menyalahtafsirkan peruntukan tertentu dalam perjanjian perdagangan dengan negara luar termasuk Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) di antara Amerika Syarikat dan Malaysia.
Menurutnya, beliau bimbang ia boleh menjejaskan hubungan diplomatik di antara Malaysia dengan negara tertentu.
“Perjanjian perdagangan timbal balas dijelaskan semalam oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) (Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz) dan masih ada ruang berdebat selepas ini. Sebab itu Menteri MITI cabar (tanya) peruntukan (yang) mana?
“Ini masalah membaca tidak secara menyeluruh. Tentunya apa-apa dilakukan oleh Amerika tentunya diteliti ‘line by line’ oleh China.
“Kalau ada ditafsirkan oleh sesetengah Ahli (Parlimen) pembangkang, ia akan menjejaskan hubungan kita dengan China. Kalau unsur nadir bumi (REE) dimonopoli Amerika, tidak boleh dengan China… ini tidak berlaku (sebenarnya).
“Jadi kita (pula) jadi ‘lebih Hamas daripada Hamas’, ‘lebih China daripada China’. Ini masalah kita kerana politik yang menanam sikap benci begitu saja. Saya akan teliti dulu undang-undangnya, teliti peruntukannya,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat hari ini.