
PUTRAJAYA: Semua anggota Jemaah Menteri disaran memberi penegasan khusus terhadap aspek integriti, susulan pendedahan kes salah laku dan rasuah membabitkan pengurusan tertinggi jabatan serta agensi kerajaan.
Arahan Datuk Seri Anwar Ibrahim itu antara lain menuntut supaya isu berkaitan penguatkuasaan yang sebelum ini ditegur Perdana Menteri diberi perhatian serius oleh setiap menteri.
“Perdana Menteri minta supaya beberapa isu terutama aspek penguatkuasaan yang Perdana Menteri tegur dalam perhimpunan bulanan baru-baru ini diberikan penegasan oleh anggota Jemaah Menteri.
“Ini kerana kalau kita lihat beberapa tindakan yang diambil oleh badan penguatkuasaan (terhadap kes ketua jabatan kerajaan) menunjukkan mungkin beberapa sikap yang tidak membantu, itu menghakis keyakinan rakyat terhadap institusi (kerajaan),” kata jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil.
Ketika berucap di Majlis Amanat Perdana Menteri Bersama Ketua-Ketua Jabatan/Agensi Penguatkuasaan Yang Berhubungan Dengan Jenayah Kewangan baru-baru ini, Anwar memberi amaran keras kepada pimpinan tertinggi agensi penguatkuasa untuk laksanakan pembaharuan susulan masih wujud kelemahan serius dalam aspek penguatkuasaan.