PM Jamin Siasat Serangan Anak Rafizi

Foto Hiasan / PMO

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan siasatan insiden serangan fizikal ke atas anak Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli akan dilaksanakan secara telus dan rapi.

Anwar berkata, beliau juga telah menghubungi Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution dan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail untuk menjalankan siasatan segera.

“Apa dibangkitkan (insiden serangan ke atas anak Rafizi), dukacita kerana sudah ada budaya agak melampau daripada buli hingga kematian dan kini anak Ahli Parlimen Pandan.

“Saya telah menghubungi Menteri Dalam Negeri dan Ketua Polis Negara untuk teruskan siasatan telus dan rapi kerana budaya ini membimbangkan.

“Saya beri jaminan apa disebut Menteri Dalam Negeri dan Ketua Polis Negara bahawa mereka akan bertindak segera, pantas dan telus, bukan sahaja ambil tindakan tetapi menghentikan budaya jahat ini,” katanya ketika sesi Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat pada Khamis.

Sebelum ini, polis mengesahkan anak seorang bekas menteri diserang dalam kejadian di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya.