PM hilang sabar, ancam turun pangkat pemimpin penguatkuasa

Foto PMO

PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi amaran keras kepada Pimpinan tertinggi agensi penguatkuasa diberi tempoh seminggu untuk laksanakan pembaharuan atau bersedia diturunkan pangkat ke jawatan lebih rendah.

Ancaman itu susulan masih wujud kelemahan serius dalam aspek penguatkuasaan.

Perdana Menteri menegaskan, meskipun kerajaan mencatat pelbagai kejayaan dari segi ekonomi dan pemerintahan sepanjang hampir tiga tahun pentadbiran, ruang untuk melakukan penambahbaikan masih luas dan tidak boleh dipandang ringan.

Katanya, kejayaan yang dicapai wajar diraikan, namun pada masa sama kerajaan perlu bersikap insaf dengan menilai secara jujur kekuatan dan kelemahan yang masih wujud, khususnya dalam kalangan agensi penguat kuasa.

“Tetapi kira-kira tiga tahun (kemudi kerajaan), saya merasakan ada ruang yang mesti (diperbaiki), kelemahan tidak boleh dihargai baik dari segi pencerobohan atau penyeludupan atau kegiatan-kegiatan gelap yang masih berlaku dan ada kalanya dengan ruang dan keizinan keadaan.

“Saya nak berikan kata-kata yang keras dan singkat, sudah sampai ketikanya yang mana kita harus beri jawapan, kalau sudah diamanahkan dan rasanya kurang mampu menerima cabaran besar dan ujian berat dan pelawaan (penyelewengan) terlalu menarik, saya syorkan untuk dimaklumkan dalam tempoh seminggu ini kepada ketua-ketua jabatan, kepada saya sendiri atau menteri.

“Sila bagi tahu jika belum bersedia untuk mengambil (amanah sebagai pemimpin penguat kuasa). Tempoh satu minggu,” katanya.