
PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim dukacita terhadap konflik global yang masih berlarutan dan menyifatkannya sebagai menguji keamanan sejagat.
Perdaa Menteri berkata, penderitaan rakyat Gaza di Palestin masih belum selesai namun dunia kini sekali lagi dikejutkan dengan ketegangan baru iaitu serangan Israel dan Amerika ke atas Iran.
“Apa yang berlaku hari ini yang sangat mengganggu ketenangan saya iaitu masalah Gaza belum selesai. Kita makan tetapi ada yang masih kebuluran di sana. (Kini) terbeban lagi dengan keputusan Israel dengan sekutu Amerika menyerang Iran.
“Kalau belum kita dapat belajar erti perpaduan dan akhlak yang baik, saya tidak tahu apa lagi, jarang sekali dalam sejarah manusia begitu banyak tragedi yang menimpa umat yang terus berlaku di depan mata kita,” katanya.
Berucap di Majlis Berbuka Puasa Perdana Menteri bersama warga Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) di Kompleks Seri Perdana, Anwar berkata, ketegangan di Timur Tengah meningkat apabila Amerika dan Israel melancarkan serangan semalam
Serangan itu berlaku selepas Amerika meningkatkan kehadiran ketenteraannya secara besar-besaran di rantau berkenaan bagi memberi tekanan kepada Teheran supaya mengurangkan program nuklearnya, serta susulan tindakan keras di Iran terhadap protes besar-besaran.