PM diundang ke sidang tergempar ketua-ketua negara Islam

Foto Bernama

KUCHING: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima jemputan untuk menghadiri Sidang Kemuncak Tergempar Arab-Islam yang dihadiri ketua-ketua negara Islam di Doha, Qatar, Isnin ini.

Katanya, perjumpaan itu atas inisiatif Emir Qatar Sheikh Tamim bin Hamad Al-Thani bagi membincangkan situasi terkini di Gaza, susulan serangan berterusan rejim Zionis Israel terhadap penduduk Palestin.

“Saya dapat pagi tadi undangan perjumpaan tergempar ketua-ketua negara Islam di Doha. Emir Qatar minta saya turut hadir.

“Jadi kalau jadual itu betul-betul 15 (September), maka kemungkinan besar saya akan cuba hadir, sebab 16 September itu Hari Malaysia. Saya terpaksa ada di sini,” katanya selepas Majlis Perjumpaan Bersama Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Keadilan Sarawak, di sini, hari ini.

Perdana Menteri berkata, sidang tergempar itu diadakan bagi membincangkan tindakan susulan berhubung krisis kemanusiaan yang semakin meruncing di Gaza, terutama selepas peningkatan mendadak dalam serangan udara dan darat Israel.