
PUTATAN: Usai perbincangan dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Barisan Nasional (BN), Parti Keadilan Rakyat (PKR) hampir pasti bertanding antara 10 hingga 12 kerusi dalam Pilihanraya Negeri Ke-17 (PRN17) Sabah, 29 November ini.
Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Sabah, Datuk Mustapha Sakmud, memaklumkan setakat ini empat kerusi di kawasan pantai timur, manakala lima di pantai barat dan pedalaman, disusuli beberapa lagi kerusi masih dalam perbincangan.
Beliau berkata, empat kerusi di pantai timur ialah Gum-Gum, Karamunting, Segama dan Merotai, manakala lima kerusi di pantai barat ialah Inanam, Petagas, Api-Api, Sindumin dan Melalap.
Menurutnya, semua itu adalah kerusi tumpuan PKR seperti disenaraikan dalam program Jelajah Harapan Urang Sabah yang dilaksanakan bermula di kawasan pantai timur pada akhir minggu lalu.
“Sekarang ini ada lagi beberapa perbincangan terakhir, jadi kita akan lihatlah perkembangannya nanti, boleh jadi antara 10 hingga 12 kerusi, tapi itupun bergantung kepada perbincangan selanjutnya,” katanya.