
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan memanggil pengurusan TikTok untuk menjelaskan berhubung trend PK Battle yang menimbulkan kebimbangan ibu bapa.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata pihaknya memandang serius perkara itu selepas ibu bapa bimbang kerana wang anak mereka dibelanjakan untuk memberi hadiah bagi tujuan pertarungan dalam aplikasi berkenaan.
Beliau berkata, TikTok adalah platform yang diberi lesen untuk beroperasi di Malaysia dan pihak itu sepatutnya mempunyai langkah menangani masalah yang wujud.
“PK Battle menjadi satu masalah yang dilaporkan oleh media dan kami pandang serius. Tiktok perlu tampil dan beri penjelasan dan mengambil langkah sewajarnya untuk menyelesaikan masalah ini,” katanya.