
KUALA LUMPUR: Mungkinkah Pilihanraya Umum (PRU) ke-16 akan diadakan pada tahun ini ketika tempoh penggal masih berbaki lebih setahun?
Pengamat dan penganalisis politik meramalkan PRU lebih awal itu dijangka berlangsung pada suku keempat tahun ini iaitu sekitar Oktober hingga Disember depan atau mungkin lebih awal lagi iaitu menjelang pertengahan tahun ini.
Bagi penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Datuk Dr Sivamurugan Pandian, suku keempat tahun ini dikira tempoh optimum kerana ia selari kitaran Pilihanraya Negeri (PRN), selain memberi masa ‘feel-good factor’ kepada ekonomi negara.
Beliau berkata, berbanding langkah untuk diadakan PRU pada suku kedua tahun ini yang dilihat masih terlalu awal, di samping kerajaan juga masih memiliki mandat stabil untuk menyelesaikan beberapa urusannya.
“Awal 2027 dianggap opsyen taktikal terakhir sebelum risiko kitaran antipenyandang memuncak. Jika mengejut, jendela paling logik ialah hujung 2026 dan barangkali bukan sekarang (waktu ini),” katanya.
Mengikut mandat penggal Parlimen semasa, pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memimpin Kerajaan Perpaduan masih memiliki tempoh penggal hingga November 2027.
Namun, rekod PRU di Malaysia pernah beberapa kali diadakan sebelum cukup tempoh lima tahun, contohnya pada PRU 1974, 1978, 1982, 1995, 1999 serta 2004.
Sivamurugan berkata, beberapa pemimpin politik mutakhir ini turut memberi bayangan PRU16 mungkin diselaraskan dengan PRN Melaka, Johor serta Sarawak bagi tujuan menjimatkan kos dan menjamin kestabilan logistik.
“Ramalan politik juga menyebut kemungkinan PRU16 diadakan serentak dengan PRN (yang akan berlangsung) sekitar tahun ini, bergantung pada prestasi kerajaan dan pertimbangan strategik Perdana Menteri,” katanya.
Untuk rekod, selesai PRN Sabah tahun lalu, negeri seterusnya menyusul mengadakan PRN adalah Melaka, yang mana tempoh penggal Dewan Undangan Negeri (DUN) akan berakhir November ini, diikuti Sarawak (Disember) serta Johor, pada Februari 2027.