Piawai Ketat Elak ‘Mayat Berbicara’

Foto NSTP

Prosedur bedah siasat mayat di negara ini dilakukan mengikut protokol ketat dan berlandaskan piawaian antarabangsa seperti Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Royal College of Pathologists serta garis panduan tempatan.

Ahli patologi forensik akan memastikan semua pemeriksaan luaran dan dalaman, gambar dan apabila perlu, imej radiologi X-ray atau imbasan CT semasa bedah siasat direkodkan secara terperinci dalam laporan bedah siasat.

Ketua Unit di Unit Perubatan Forensik, Fakulti Perubatan dan Kesihatan Pertahanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Dr Nadiawati Abdul Razak, berkata ia juga mengambil kira latar belakang klinikal si mati, laporan tempat kejadian dan analisis toksikologi, histologi serta mikrobiologi.

“Ini semua dilakukan bagi memastikan setiap kesimpulan diberikan disokong bukti sahih dan boleh dipertanggungjawabkan di mahkamah.

“Selain aspek teknikal, pemeliharaan integriti juga merangkumi aspek etika profesional. Saya sentiasa memastikan kerja saya bebas daripada sebarang pengaruh luar, termasuk tekanan pihak berkepentingan,” katanya ketika diwawancara Berita Harian.