PH Umum Calon Awal November

Foto Hiasan

SHAH ALAM: Senarai penuh calon Pakatan Harapan (PH) yang bertanding pada Pilihanraya Negeri (PRN) Sabah ke-17 akan diumumkan awal November, kata Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Sabah, Datuk Mustapha Sakmud.

Menurutnya, PH berasrat meletakkan calon di 23 daripada 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan.

Katanya, calon yang bakal diketengahkan adalah gabungan muka lama dan baru, teknokrat dan bekas penjawat awam serta kepimpinan di peringkat cabang.

“Setakat ini, kita dimaklumkan ada 21 hingga 23 kerusi ditawarkan untuk PH, tetapi senarai calon yang dipersetujui akan diumumkan Perdana Menteri yang juga Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim pada awal November,” katanya.

Mustapha yang juga Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi berkata jentera PH cukup bersedia dan bersemangat tinggi untuk menggerakkan kempen bagi memenangkan calon-calon parti itu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) semalam menetapkan tarikh penamaan calon 15 November manakala tarikh undi awal dan hari pengundian masing-masing pada 25 dan 29 November.

Pada 6 Oktober lalu, Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah bagi memberikan laluan kepada PRN Sabah ke-17.

DUN Sabah mempunyai 79 kerusi dengan 73 daripadanya dipertandingkan manakala enam lagi adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang dilantik.