
KOTA KINABALU: Pakatan Harapan menyusun 10 senarai keutamaan bagi memastikan sumber 40 peratus hak negeri tidak disia-siakan dan dapat dinikmati rakyat keseluruhannya.
Dalam manifestonya, Pakatan Harapan (PH) Sabah menyenarai lapan komitmen khusus untuk membantu rakyat, memperbaiki infrastruktur, mengukuh tadbir urus serta merancakkan ekonomi Sabah.
Manifesto 10 senarai keutamaan itu bagi memastikan sumber 40 peratus hak negeri tidak disia-siakan dan dapat dinikmati rakyat keseluruhannya.
Komitmen itu kemudian dipacu tujuh agenda, yang bertindak sebagai prinsip pemandu dalam mentadbir Sabah lima tahun ke hadapan, yang diletak dengan dengan akronim HARAPAN.
Pengerusi PH Sabah, Datuk Mustapha Sakmud berkata, PH Sabah melihat komitmen kerajaan pusat, terutama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tegas mengatakan bahawa tidak ada rayuan untuk 40 peratus ini.
“PH Sabah mengambil posisi untuk bersedia mengurus pemulangan 40 peratus hak Sabah. PH Sabah juga tidak beretorik isu 40 peratus hak Sabah.
“Cuba bandingkan dengan Perdana Menteri terdahulu, inilah kali pertama kita mendapat Perdana Menteri yang terus mengatakan bahawa akan melaksanakan MA63, tetapi dalam suasana perundingan, antara kerajaan pusat dan juga kerajaan negeri.
“Agenda yang lebih penting adalah untuk memastikan rakyat Sabah dapat merasai hasil mahsur tanah tumpah darah mereka semua,” katanya berucap di majlis pelancaran komitmen PH Sabah di sini, hari ini.