
PORT DICKSON: Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata gabungan itu tidak akan melayan serangan politik atau dakwaan berunsur fitnah sepanjang baki tempoh kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Menurutnya, PH akan menumpukan sepenuh perhatian terhadap usaha menjelaskan manifesto serta tawaran gabungan itu kepada rakyat di negeri ini, berbanding membalas dakwaan pihak lawan termasuk label ‘boneka DAP’ yang menurutnya sudah menjadi kelaziman setiap kali musim pilihan raya.
“Serangan itu tidak memberi kesan kepada kami. Apa yang kami tawarkan kepada rakyat sudah diterjemahkan menerusi manifesto,” katanya.
Dalam pada itu, Aminuddin yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan memaklumkan keperluan untuk mengadakan sesi debat atau dialog dengan mana-mana pihak dilihat sudah agak terlewat pada peringkat ini.