Petronas, TotalEnergies perluas kerjasama huluan

Petronas dan Total Energies SE menandatangani perjanjian kerjasama strategik dan dua perjanjian serah hak untuk mengembangkan kerjasama huluan di Malaysia.

Dua syarikat itu juga sedang mengembangkan kerjasama antarabangsa di bawah Kontrak Perkongsian Pengeluaran Bobara di Indonesia.

Dalam satu kenyataan, perjanjian kerjasama strategik itu menggariskan peluang di peringkat antarabangsa dan domestik dalam bidang strategik merangkumi penerokaan dan pengeluaran gas dan gas asli cecair, pengurangan jejak karbon dan kerjasama.

Petronas, menerusi anak syarikatnya Petronas Carigali Sdn Bhd dan TotalEnergies EP Malaysia akan bersama-sama meneroka beberapa blok penerokaan luar pesisir pantai di seluruh lembangan hidrokarbon paling berpotensi di negara ini.