
Petronas dan Tenaga Nasional Bhd (TNB) mengekalkan kedudukan sebagai jenama utama Asean, masing-masing dalam sektor minyak dan gas (O&G) serta utiliti.
Menurut laporan Energy 100 2025 oleh Brand Finance, Petronas terus diiktiraf secara meluas sebagai jenama yang dipercayai dan menawarkan nilai yang baik, sekali gus mengukuhkan peranannya sebagai pemain utama dalam landskap tenaga global.
Laporan itu menyatakan bahawa Petronas kekal sebagai jenama O&G ketiga terkuat di dunia, dengan skor Indeks Kekuatan Jenama (BSI) sebanyak 83.7 daripada 100 dan penarafan AAA.
Di belakang Petronas dalam kedudukan serantau ialah syarikat dari Thailand, PTT Public Company Ltd, yang mencatatkan peningkatan nilai jenama sebanyak 11 peratus kepada AS$9.2 bilion, manakala jenama Indonesia, Pertamina, mengalami penurunan nilai jenama sebanyak 15 peratus kepada AS$3.8 bilion.