
KUALA LUMPUR: Petronas menerusi inisiatif Petronas Memperkasakan Ilmu menaja lebih 650 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 yang layak.
Tajaan pendidikan itu membolehkan mereka melanjutkan pengajian ijazah dalam pelbagai bidang termasuk kejuruteraan kimia, kejuruteraan petroleum, kejuruteraan mekanikal dan pemasaran di Universiti Teknologi Petronas.
Ia juga meliputi tajaan pengajian di institusi pendidikan luar negara seperti United Kingdom, Australia, Kanada, China, New Zealand, Jepun, Korea Selatan dan Singapura.
Tahun ini, Petronas menerima hampir 9,000 permohonan dari seluruh negara dan proses pemilihan dijalankan berdasarkan kecemerlangan akademik, potensi kepimpinan dan pembabitan aktif dalam aktiviti kokurikulum.
Naib Presiden Kanan dan Ketua Pegawai Sumber Manusia Kumpulan Petronas, Ruslan Islahudin berkata selain tajaan bantuan kewangan, ia juga menjanjikan potensi yang besar di masa hadapan untuk penerima.