Petronas pantau bekalan bahan api, pastikan stabil

Foto BH

KUALA LUMPUR: Bekalan bahan api terus dipantau Petronas untuk memastikan kestabilan di seluruh negara susulan krisis yang sedang berlaku di Asia Barat.

Kenyataan syarikat minyak dan gas nasional itu berkata, walaupun Malaysia adalah pengeluar minyak, negara tidak sepenuhnya terlindung daripada kesan krisis itu.

Menurutnya, hampir 40 peratus keperluan minyak mentah negara melalui Selat Hormuz. Sejak krisis bermula, harga minyak mentah telah meningkat hampir 40 peratus.

“Akibatnya, kos penghantaran global, premium insurans dan logistik berkaitan penghantaran turut meningkat dengan ketara. Semua perkembangan ini telah memberi kesan kepada keterjaminan bekalan bahan api Malaysia,” kata kenyataan itu.

Dari segi produk, Petronas berkata permintaan dalam negara terus melebihi bekalan domestik.

Bagi menangani kekurangan ini, Petronas memanfaatkan rantaian nilai bersepadunya dengan bekerjasama melalui anak-anak syarikat untuk memastikan bekalan petrol dan diesel mencukupi, untuk menyokong pegangan pasaran hampir 50 peratus sehingga Mei 2026.