
Pemilikan Petronas kekal di Bawah Kerajaan Persekutuan, namun pendekatan memperkukuh penyertaan negeri-negeri melalui platform kerjasama strategik, pelaksanaan projek bersama dan penglibatan dalam rantaian nilai adalah sejajar dengan struktur Persekutuan yang inklusif selain memastikan kesinambungan manfaat buat semua pihak.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata kerajaan Persekutuan pada masa ini merupakan pemilik tunggal Petronas yang diperbadankan di bawah Akta Syarikat 1965 sebagai syarikat minyak dan gas negara.
“Akta Kemajuan Petroleum 1974 (Akta 144) mengamanahkan Petronas dengan pemunyaan mengenai petroleum, dan hak, kuasa, kebebasan dan keistimewaan eksklusif bagi meneroka, mengurus dan membangunkan sumber petroleum negara, sama ada di daratan, di pantai atau di luar pantai Malaysia,” katanya.
Azalina berkata demikian dalam jawapan bertulis yang dipaparkan di portal Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Jeffrey Gapari Kitingan (GRS-Keningau) yang bertanya jika kerajaan mempertimbangkan untuk mengagihkan 50 peratus saham pemilikan dalam Petronas kepada wilayah-wilayah serta negeri-negeri pengeluar minyak dan gas iaitu Sarawak, Sabah, Terengganu dan Kelantan.