
KUALA LUMPUR: PETRONAS melalui anak syarikatnya, PETRONAS LNG Ltd memeterai perjanjian jual beli (SPA) dengan CNOOC Gas and Power Singapore Trading & Marketing Pte Ltd bagi pembekalan satu juta tan setahun gas asli cecair (LNG).
Perjanjian itu dibina berdasarkan hubungan kerja berpanjangan antara PETRONAS dan CNOOC, memperkukuh kerjasama dalam pembekalan LNG sambil menyokong pertumbuhan ekonomi China dan agenda tenaga bersih negara.
Dalam satu kenyataan, Naib Presiden Pemasaran dan Perdagangan PETRONAS LNG, Shamsairi M Ibrahim, berkata perjanjian itu menandakan peningkatan hubungan PETRONAS dengan CNOOC, memajukan komitmen bersama terhadap keselamatan tenaga dan masa depan karbon yang lebih rendah.
“PETRONAS kekal komited untuk menyediakan penyelesaian LNG yang andal dan bersih, bekerjasama dengan rakan kongsi untuk memajukan matlamat peralihan tenaga bersama”
Komitmen jangka panjang itu memperkukuh kedudukan PETRONAS sebagai rakan kongsi LNG yang dipercayai kepada China, di samping mencerminkan kerjasama berterusan dengan CNOOC.
Berikutan peningkatan permintaan Asia untuk bahan api rendah karbon, PETRONAS akan terus menyediakan LNG daripada portfolionya yang mantap untuk menyokong keperluan tenaga pelanggan yang sentiasa berubah di seluruh rantau ini.